Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!

Sedar tak sedar sejak kebelakangan ni teknologi kamera makin canggih. Tak kisahlah kamera telefon pintar, point and shoot, DSLR, mahupun kamera mirrorless.

Besar kemungkinan cik adik, abang, dan akak yang sedang membaca artikel ini juga mempunyai salah satu daripada kamera yang saya nyatakan di atas.

Haa selepas itu, kami rasa hampir 90% daripada anda yang membaca artikel ini juga mempunyai Instagram.

Jika anda mengikuti akaun para jurufoto profesional ataupun amatur dalam dan luar negara, mesti sekali sekala timbul pertanyaan, “Diorang ni pakai kamera apa eh?”

Ramai jurufoto yang kami lihat dapat menghasilkan gambar yang sangat cantik bukan kerana kamera yang mereka guna adalah kamera tercanggih abad ini.

Tetapi kerana mereka sudah kenal “hati budi” dan “perangai” kamera masing-masing, tak kisahlah telefon pintar, kamera filem, DSLR, ataupun kamera mirrorless.

Sebelum kita berbincang lebih jauh, jom kita jawab satu pop kuiz.

IMG_1944
Cuba teka gambar ini diambil menggunakan kamera apa

Sumber gambar: Zulhilmi Asraf Zamri

Berapa ringgit perlu anda berbelanja untuk membeli kamera yang mampu menghasilkan gambar seperti di atas?

RM3,000? RM1,500? RM800? RM500?

Jawapannya? Gambar di atas diambil dengan kamera Canon SX1IS yang berharga RM500 (sepada waktu itu).

Jadi, sekiranya kamera yang berharga RM500 boleh dikawal sepenuhnya menggunakan mod manual (atau Fireworks mode), maka RM500 sahajalah yang anda perlu keluarkan untuk sebuah kamera.

maxresdefault
Kamera Canon SX1IS

Sumber gambar

Bukan maksud kami membeli kamera mahal itu satu pembaziran, tetapi sebenarnya jika betul-betul kita selami ‘hati budi’ kamera yang kita ada, kita pasti dapat memanfaatkan 100% setiap ringgit yang kita belanjakan.

Jadi sebagai permulaan, mari kita diskusi secara santai apakah kelebihan dan kekurangan bagi setiap jenis kamera yang boleh didapati di pasaran:

33700234866_a7f65f5d8b_h
Iphone 7 Plus

Sumber gambar

Kamera telefon pintar

Ringan, mudah dibawa ke mana-mana, dan lengkap dengan fungsi kongsi terus ke media sosial.

Kamera telefon pintar sangatlah sesuai untuk tujuan laporan atau kerja berkumpulan di mana maklumat dan gambar dapat dikongsi segera.

Dalam keadaan cerah, kamera telefon pintar tidak kurang hebatnya dengan kamera-kamera lain.

Tetapi setelah anda memasuki kawasan malap ataupun pada waktu malam, kebolehan telefon pintar amatlah terhad, lagi-lagi jika ia tidak mempunyai fungsi manual.

Harga? Bergantung kepada bajet anda. Dari RM200 sehinggalah RM4000 ke atas (lebih mahal lagi jika anda membeli telefon pintar edisi terhad)

14138933849_f2b9858601_h
Kamera Ricoh GR

Sumber gambar

Kamera digital point and shoot

Saiznya mungkin sama besar ataupun lebih besar sedikit berbanding telefon pintar. Tetapi ia mempunyai sensor yang lebih besar daripada telefon pintar.

Saiz sensor yang lebih besar ini membolehkan kamera ini untuk menjadi lebih peka terhadap cahaya terutamanya pada keadaan malap.

Jika kamera anda mempunyai mod manual, anda mampu menghasilkan gambar yang mampu menandingi DSLR jika dilihat pada mata kasar.

Kamera point and shoot mungkin mempunyai kualiti imej yang lebih baik daripada telefon pintar, tetapi tidak semua kamera ini mempunyai fungsi kongsi ke media sosial.

Ianya sesuai jika anda mahu jimatkan bateri telefon pintar dan memerlukan sebuah kamera yang ringan dan tidak perlu berkongsi gambar serta merta ke media sosial.

Boleh didapati dengan harga serendah RM300 dan jika ada duit lebih, boleh cuba lihat model Leica yang bermula dengan harga RM4000 ke atas.

Dengan kecanggihan teknologi kamera telefon pintar, jualan kamera point and shoot semakin berkurangan.

Kami menjangkakan kamera point and shoot yang berharga murah akan lenyap dari pasaran dalam beberapa tahun akan datang kerana orang ramai hanya akan menggunakan telefon pintar sahaja.

Hanya segelintir sahaja yang akan mengeluarkan duit lebih bagi mendapatkan sebuah kamera selain dari telefon pintar.

 

2015.09.11 PENANG (NIKON) 00069
Kamera-kamera Vintage

Sumber gambar: Ahmad Aiman Asraf

Kamera filem – kompak dan “interchangeable lens”

Sejujurnya kami amat tertarik dengan tona warna dan sifat gambar yang mampu dihasilkan oleh kamera filem.

Apatah lagi bila difikirkan jurufoto tersebut tidak mampu melihat kembali gambar yang baru sahaja ditangkap, tetapi beliau mampu untuk terus menghasilkan gambar-gambar yang cantik!

Gambar yang ditangkap pula hanya mampu dilihat setelah filem dicuci dan sekeping gambar dihasilkan. Sudah tentunya ia lebih mempunyai nilai sentimental.

Sayang sekali kos untuk mencuci segulung filem bukannya murah.

Walaupun hanya perlu membayar berpuluh ringgit bagi 36 keping gambar, pastinya kos ini akan melebihi harga sebuah kamera digital biasa sekiranya kita kerap mengambil gambar.

Harganya pula dari beberapa ratus ringgit bagi model terpakai hingga beberapa ribu ringgit.

Tetapi kalau rajin melayari Mr. Google, anda boleh jumpa kamera filem klasik dari Leica yang berharga €2,160,000 atau lebih kurang RM10,000,000!

15503707398_93d66aef75_h
Kamera DSLR Nikon D750

Sumber gambar

DSLR (Digital Single Lens Reflex) – ini kamera yang paling mudah dikenali dengan warnanya yang hitam dan harga bermula RM1000 ke atas.

Ada kamera filem juga boleh berfungsi seperti DSLR – kita mampu menggunakan pelbagai lens yang berbeza.

Tetapi kelebihan DSLR ialah fungsi ISO yang pelbagai (kami akan terangkan ISO dengan lebih lanjut dalam artikel akan datang) dan gambar yang disimpan dalam bentuk digital, boleh dilihat kembali, dipadam dan dicetak dengan segera tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Sesuai untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kamera pelbagai lens.

Namun, tanyalah para jurufoto yang sudah lama berkecimpung dalam bidang fotografi.

Jika mereka mempunyai pilihan yang lebih ringan dengan kualiti gambar yang setanding DSLR, sudah tentunya mereka akan memilih kamera yang lebih ringan.

Terdapat ramai fotografer yang mula menukar sistem kepada kamera mirrorless, terutamanya Sony mirrorless atau Kamera Fuji X-Series kerana lebih kecil dan ringan.

Bayangkan memikul gandingan kamera dan lens seberat 1000 gram ketika sedang melakukan tugas atau ketika melancong!

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Harga kamera DSLR bergantung kepada keperluan anda.

Untuk model permulaan, RM1000 sudah mencukupi tetapi jika anda ingin menggunakan kamera yang sama lasak digunakan oleh para wartawan di medan perang, kos kamera anda mungkin mencecah RM30,000!

24824341334_33cfbbf056_h
Kamera Mirrorless Fujifilm X-Pro2

Sumber gambar

Mirrorless (tanpa cermin pemantul)

Kamera jenis ini sudah mempunyai saiz sensor yang sama dengan kamera SLR ataupun DSLR , tetapi ia tidak mempunyai cermin pemantul.

Ini sekaligus menjadikan mekanisme fokus kamera ini berbeza dengan kamera SLR dan DSLR. OK jangan pening-pening ye.

Yang penting, rekabentuk kamera ini menjadikan ianya jauh lebih ringan daripada kamera-kamera SLR dan DSLR.

Bayangkan sebuah kamera DSLR bersaiz penuh (full frame) mempunyai berat sehingga 700g tanpa lensa, tetapi sebuah kamera mirrorless yang mempunyai saiz sensor yang sama hanyalah seberat 450g.

Tidakkah ianya lebih mudah dibawa ke mana-mana?

Walaubagaimanapun, harga mirrorless tidak jauh bezanya daripada kamera DSLR terkini, dan kombinasi lensa mirrorless masih belum setanding kamera SLR/DSLR.

Terdapat juga kes di mana kamera mirrorless mempunyai saiz yang memang ringan dan kecil, tapi saiz lensa hampir sama besar dengan lensa kamera DSLR.

Buat mana kini, badan kamera mirrorless masih belum boleh diguna pakai dengan lensa DSLR tanpa menggunakan adaptor khusus!

Adaptor juga berkemungkinan menjadikan prestasi fokus lens sedikit tidak memuaskan berbanding prestasi sebenar.

Harga pasaran bagi kamera mirrorless buat masa kini hampir sama dengan DSLR. Bermula dari RM1000 hinggalah RM5000 ke atas.

Konklusi

Tidak kiralah kamera apa yang anda pilih, persamaan yang dikongsi oleh semua kamera ialah menggunakan dan pengawalan cahaya untuk menghasilkan imej.

Dengan teknik pengawalan cahaya yang betul, anda akan dapat menghasilkan gambar yang anda ingin dengan baik.

Dalam artikel akan datang, kami akan kupas dengan lebih lanjut bagaimana untuk menguasai elemen-elemen yang terlibat dalam penghasilan imej.

Jika anda suka artikel ini, LIKE & SHARE page My Kamera Guy dengan rakan-rakan!

Categories: Informasi

2 Comments

5 Kamera Popular yang Terdapat di Pasaran

Komen di ruangan ini