Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua!

Seperti yang pernah disebut-sebut dalam post-post sebelum ini, pastinya anda pernah terbaca istilah exposure triangle. Apa benda ni?
Sejujurnya sebelum saya berkecimpung dalam bidang fotografi ni, memang saya tak pernah tau apa itu exposure triangle.
Triangle yang saya tahu hanyalah Bermuda Triangle dan Japanese White Rice Triangle ataupun lebih dikenali dengan nama Onigiri yang berbentuk segitiga.
Jadi bagaimana benda ni mempengaruhi setiap kamera yang kita gunakan dan gambar yang kita hasilkan?
Ok kami tidak akan bercerita secara deep sangat ke arah teknikal. Cukuplah sekadar kita nampak bagaimana setiap elemen exposure triangle ini berfungsi.
Jadi nak dipendekkan cerita, ada tiga elemen penting yang menentukan bagaimana sebuah gambar akan terhasil.
- Shutter speed atau kelajuan ‘shutter’.
- Aperture atau bukaan lensa
- ISO – kelajuan filem atau tahap sensitiviti sensor kamera
Ayuh kita cerita sedikit satu per satu tentang elemen-elemen di atas.
Shutter Speed (Kelajuan shutter)
Pernah bayangkan anda bergerak pada kelajuan cahaya sedang merentasi sebuah pasar malam dan semua orang yang berada di sekeliling anda bagaikan terhenti?
Begitulah keadaannya apabila anda menggunakan shutter speed yang sangat tinggi (sangat pantas!).
Contohnya, jika setitik air mengambil masa satu saat untuk jatuh dari hujung paip ke permukaan sinki dapur, tentunya titisan air itu bagaikan tidak bergerak jika kita memendekkan masa ukuran ke 1/4000 saat!

Sumber Gambar : Ahmad Aiman Asraf
Hal ini adalah kerana masa itu terlalu singkat untuk sebarang pergerakan yang mampu dilihat oleh mata kasar berlaku.
Bayangkan pula masa ukuran dipanjangkan hingga 10 saat.
Sudah tentunya banyak titisan air akan membasahi permukaan sinki tersebut kerana masa yang diberi adalah mencukupi untuk 10 titisan jatuh dari paip ke permukaan sinki.

Sumber Gambar: Zulhilmi Asyraf Zamri
Samalah juga apabila anda mengambil gambar dengan shutter speed yang lama, lebih banyak cahaya mampu ditangkap oleh sensor kamera anda.
Dengan mengawal shutter speed, anda mampu mengawal berapa banyak cahaya yang akan masuk ke dalam kamera anda.
Aperture atau Bukaan Lensa
Bayangkan pintu bilik anda dan juga sliding door yang hampir tiga kali ganda saiz pintu bilik anda.
1x vs 3x.
Pintu manakah yang membolehkan lebih ramai tetamu memasuki rumah anda dalam satu masa?
Tentulah sliding door. Jadi beginilah konsep aperture yang juga dikenali sebagai f-stop berfungsi.

f/1.4 bermaksud bukaan lensa lebih besar daripada f/8 (ingat tanda ‘/’ yang bermaksud pecahan. Dalam sudah tentunya 1/1.4 lebih besar daripada 1/8).
Dalam kes ini, f/1.4 mampu membenarkan jumlah cahaya yang berkali-kali ganda lebih banyak sampai ke kamera berbanding bukaan f/8.
Dengan mengawal nilai f-stop ini, anda boleh menentukan berapa banyak cahaya akan masuk ke kamera anda dalam suatu masa tertentu.

Sumber gambar: Ahmad Aiman Asraf
Aperture juga mempengaruhi depth-of-field. Secara asasnya, depth-of-field adalah jarak antara objek terdekat dan objek terjauh dalam sesebuah imej yang kelihatan fokus.
ISO (tahap sensisitiviti filem/sensor)
Kembali kepada air yang menitik membasahi sinki tadi.
Bayangkan anda melapik permukaan sinki anda dengan kertas A4 biasa dan kemudian dengan kertas tisu muka.
Sudah tentunya tisu muka lebih cepat menjadi basah berbanding kertas A4 itu kerana sifatnya yang sangat menyerap.
Sama jugalah sensor yang menggunakan ISO tinggi berbanding sensor yang mengunakan ISO rendah.
Pada ISO tinggi, lebih banyak cahaya mampu dikesan oleh sensor dalam suatu masa berbanding pada ISO rendah.

Teknik menaikkan ISO sesuai digunakan untuk mengelakkan gambar menjadi terlalu gelap setelah ‘aperture’ dan ‘shutter speed’ sudahpun berada pada tahap optimum.
Tetapi kita harus berhati-hati ketika meningkatkan nilai ISO kerana nilai ISO yang semakin tinggi akan menghasilkan digital noise yang boleh menyebabkan imej rosak.

Konklusi
Ketiga-tiga elemen exposure triangle di atas memainkan peranan masing-masing dalam mengawal pencahayaan imej anda.
Setiap elemen tersebut juga mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing mengikut cara mereka digunakan.
Sekarang ayuh ambil kamera anda dan cuba eksperimen dengan mengubah shutter speed, aperture, dan juga ISO!
Lihat sendiri hasilnya dan mudah-mudahan anda lebih memahami konsep exposure triangle ini.
2 Comments
Ketahui apa itu Exposure Triangle