Assalamualaikum & salam sejahtera semua!

Minat saya terhadap fotografi bermula pada zaman sekolah menengah di mana saya dilantik sebagai salah seorang fotografer untuk majalah sekolah.

Saya rasa bersyukur sebab Ayah saya supportive dengan minat saya yang baru ini, jadi dia menghadiahkan saya sebuah kamera point & shoot berjenama Lumix  (ada junior saya dapat DSLR terus, hebat!)

Sebagai seorang yang baru mula minat fotografi, saya menggunakan mode Auto tanpa ilmu asas fotografi mahupun ilmu mengenai kamera.

Bila dilihat kembali, saya tersedar yang secara tak langsung saya tidak berkembang dan hanya menangkap gambar sekadar menangkap gambar.

Setelah beberapa tahun barulah saya mula nak ambil tahu tentang asas fotografi dan juga kamera.

Jadi hari ini, saya ingin berkongsi sedikit tip-tipuntuk mereka  yang baru nak mula.

Jom kita baca artikel kat bawah!

1. Belajar Exposure Triangle

Cahaya adalah faktor utama apabila kita bercerita tentang fotografi.

Kebanyakkan orang yang jumpa saya akan bertanya, “bro, guna kamera apa?”, “bro, profesional fotografer tu guna kamera apa? Gambar dia wow/awesome/gempak gile”.

Saya rasa sebab utama soalan-soalan ini banyak ditanya adalah kerana terdapat persepsi terhadap fotografi di mana “gambar yang cantik mesti guna kamera DSLR profesional mahupun kamera yang mahal”.

Jadi di sini saya ingin mengubah persepsi tersebut bahawa sebenarnya kamera biasa dan murah pun boleh hasilkan imej yang “wow/awesome/gempak gile”.

Pertama sekali kita kena faham adalah cahaya.

Secara asasnya, apabila kita snap untuk ambil gambar, shutter akan terbuka dan membenarkan cahaya masuk ke dalam kamera dan cahaya tersebut akan terpancar kepada sensor.

Seterusnya, kamera digital akan melalui proses bagi menghasilkan imej.

3 faktor yang mempengaruhi output imej.

Aperture

Ini adalah pembukaan lensa. Kalau biasa lihat pada kamera dia akan tulis f/1.2, f/2, f/4, f/16, etc.

Lebih kecil angka, lebih besar pembukaan lensa.

Lagi besar pembukaan lensa, lebih banyak cahaya masuk. Saiz pembukaan juga mempengaruhi depth-of-field.

Shutter Speed

Berapa lama shutter dibenarkan untuk terbuka. Selalunya kita boleh baca dalam bentuk 1/250 sec,1/125 sec, 1/60 sec, 5 sec, etc.

Lagi lama shutter dibenarkan terbuka, lagi banyak cahaya masuk ke dalam kamera.

Shutter speed juga main peranan kepada unsur gerakan dalam penghasilan imej (shutter speed yang laju akan freeze sesuatu gerakan, shutter speed yang perlahan akan hasilkan motion blur)

ISO

Ini adalah unit bagi kepekaan sensor kamera terhadap cahaya. Biasa dinyatakan seperti 100 ISO, 400 ISO, 6400 ISO, etc.

Di dalam situasi yang gelap, ISO yang tinggi akan membolehkan kita ambil gambar yang terang akan tetapi apabila ISO ditingkatkan, imej akan mula berbintik bintik. Ini dipanggil noise.

Ini hanyalah sekadar penjelasan ringkas tentang exposure triangle.

Apa yang ingin disampaikan di sini, kita perlu belajar dan cuba fahami ketiga-tiga faktor asas fotografi ini supaya kita boleh mengawal cahaya.

Jangan jadi macam saya, mula belajar dari sekarang dan klik pautan Exposure Triangle.

2. Belajar Rule of Thirds

Sebenarnya, rule atau peraturan ini bukan sesuatu yang mesti kita ikuti. Saya lebih selesa labelkan ia sebagai guideline.

Komposisi adalah kedudukan pelbagai element di dalam sesebuah imej. Masa awal dahulu, saya langsung tidak fikir tentang komposisi.

Tahu nak snap je tanpa ambil kira atau berfikir dulu tentang komposisi imej. Sebab itulah bila tengok kembali, gambar nampak membosankan.

Dalam dunia seni, terdapat banyak teori atau guidelines yang menjadikan sesuatu imej atau lukisan tu menarik. Salah satu yang paling asas dan popular adalah Rule of Thirds.

Contoh Rule of Thirds

Bahagikan imej dengan dua garis melintang & dua garis menegak seperti contoh di atas.

Point of interest yang terhasil adalah di mana garisan-garisan ini bertemu dan disitulah subjek yang kita ingin tangkap perlu berada dalam komposisi imej kita.

Secara teori, dengan cara ini imej dan subjek yang ditangkap akan menjadi lebih menarik.

Perlu ingat bahawa ini cuma satu guideline, ada banyak lagi yang boleh diterokai dan tak semestinya kita perlu guna guideline ini setiap masa.

Klik pautan 6 Teknik Komposisi yang anda boleh cuba sekarang.

3. Tukar Perspektif

Salah satu lagi tip yang berguna adalah perspektif. Masa awal – awal dahulu saya selalu ambil gambar pada perspektif yang sama dengan pandangan mata atau eye level.

Di sebabkan perspektif ini dah biasa dilihat hari-hari, ia menjadikan kebanyakan gambar yang diambil itu kelihatan bosan.

Jadi apakah cara untuk perbaiki? Senang je, tukarlah pandangan kita!

Kita boleh tukar elevasi perspektif seperti mencangkung atau berdiri di tempat yang tinggi sedikit. Boleh juga kita tukar jarak, cuba dekatkan lagi diri dengan subjek.

Selalu nya kita berdiri jauh-jauh dan guna super zoom lens.

Apabila kita mendekatkan diri dengan subjek, imej yang terhasil akan menpunyai hubungan yang lebih mendalam berbanding kita berdiri sangat jauh dari subjek.

Contoh gambar diambil dari paras pinggang

Contoh gambar diambil dari paras rendah dan dari sudut tinggi

4. Belajar Post-Processing

Apabila berkata tentang post-processing, tidak bermaksud kita kena ubahsuai gambar tu berlebihan sehingga menukar langit menjadi angkasa lepas.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah peningkatan imej yang minimal.

Ramai yang inginkan gambar yang kelihatan natural dan tidak over the top seperti Mat Over, tetapi kadang-kala tu ter-over edit juga.

Mari kita ambil contoh make-up. Tujuan utama make-up adalah untuk meningkatkan lagi kecantikan asli seseorang. (ada juga make-up yang ekstreme untuk ekspresi diri yang unik dan berlainan, tapi bagi kebanyakan orang, make-up ini sebagai tambahan je).

Jadi sama juga lah dengan post-processing di mana kita mampu meningkatkan lagi kecantikan gambar.

Cuma harus pastikan gambar yang dihasilkan perlulah mempunyai exposure dan komposisi yang baik dahulu.

Gambar yang sememangnya teruk exposure dan komposisi tidak akan dapat dibaiki dengan post-processing.

Post-processing merupakan seni yang tersendiri. Adalah sangat berbaloi jika kita mampu mempelajari teknik-teknik post-processing bagi menghasilkan imej yang lebih mantap.

Saya ada melalui satu fasa dimana saya merasakan gambar-gambar yang saya ambil kelihatan hambar dan kekurangan sesuatu.

Di saat itu, saya mula belajar tentang post-processing dan mula menghasilkan gambar yang lebih menepati visi saya.

5. Jangan salahkan kamera

Kamera yang ada ditangan itu hanyalah sebuah alat yang membantu kita hasilkan imej.

Saya bukan maksudkan jenis kamera itu tak penting, ia penting tapi tidak lah sepenting yang diingatkan.

Fotografer yang memahami asas fotografi boleh hasilkan imej yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dengan menggunakan kamera mainan sekalipun.

Tetapi fotografer yang kekurangan ilmu dan skill tidak akan dapat menghasilkan imej yang sama hebat walaupun menggunakan kamera tahap professional yang mahal.

Jadi jangan salahkan kamera sekiranya kita tidak menghasilkan imej yang kita idamkan.

Kita seharusnya menumpukan tenaga bagi meningkatkan ilmu tentang cahaya dan komposisi.

Kurangkan naluri melayari Mr. Google bagi mencari kamera baru, itu adalah pembuangan masa yang besar.

Sebaliknya, ambil kamera kita yang sedia ada dan praktikkan apa yang dipelajari.

Latihan dan mengambil ribuan gambar adalah cara terbaik bagi kita meningkatkan mutu imej yang dihasilkan.

Klik pautan 5 Jenis Kamera Yang Terdapat di Pasaran

Konklusi

Semuanya tertumpu kepada asas yang di bincangkan di atas: cahaya, exposure, komposisi, perspektif, sudut, dan post-processing.

Kalau kita mampu kuasai kesemua ini, dengan kamera smartphone pun kita boleh hasilkan imej yang hebat!

Jika anda suka artikel ini, LIKE & SHARE Page My Kamera Guy dengan rakan-rakan!

Categories: Tip

Komen di ruangan ini